Thursday, February 14, 2019

Masyarakat Aryan - Dravidian

Adakah orang Aryan berasal dari India atau mereka berhijrah dari tempat lain? 
Selama lebih 150 tahun, soalan ini masih dipertikaikan. Sehingga kini, sebarang kesimpulan muktamad masih belum dicapai. 
Sekiranya, sekumpulan cendikiawan berpendapat bahawa orang Aryan telah berhijrah dari Asia Tengah (berdekatan Lautan Capsia), sekumpulan cendekiawan lain pula seperti Tilak berpendapat bahawa mereka berasal dari kawasan Artik dan kemudiannya telah beredar ke Eropah Selatan, Iran, dan India. Beberapa orang cendekiawan lain pula cuba membuktikan bahwa orang Aryan memang berasal dari kawasan Indo-Ganges. Hasil penemuan arkeologi Peranchis di kawasan Mehr-garh berdekatan Bolan Pass di Pakistan nampaknya membuktikan pandangan ini. Ini meletakkan masa Tamadun Lembah Indus pada 6500 S.M. 
Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang keraguan bahawa perkataan "arya" telah digunakan secara meluas untuk merujuk kepada seorang yang berbudaya tinggi. 
Banyak maklumat-maklumat menarik mengenai kehidupan dan kebudayaan Aryan boleh didapati dengan mengkaji Rigveda. Masyarakat Aryan pada asasnya bergantung kepada kegiatan pertanian dan penternakan. Lembu merupakan haiwan domestik yang utama. Selain itu, kambing, bebiri, dan kuda juga menjadi milikan ramai. Yava atau barli merupakan bijiran utama yang diusahakan dan digunakan oleh masyarakat Aryan. 
Selain perkampungan, masyarakat ini juga telah membina kota-kota dan kubu-kubu. Mereka juga mahir dalam pembinaan kereta pedati kapal, penenunan kain, penyamakan dan pembuatan barangan kulit.  
Selain susu, dadih, minyak sapi, dan tepung, mereka juga menggunakan jus soma dan sura (arak). Minuman arak tidak ditegah atau dicemuh. Pemakanan daging juga amat biasa. Pelbagai sistem pengairan juga diamalkan. Lumba kereta pedati, pemburuan dan perjudian menjadi sumber rekreasi yang utama. 
Lembu dan barangan digunakan sebagai wang. Kemudian, emas dan duit syiling perak digunakan. 
Bapa menjadi ketua keluarga. Ibu pula amat dihormati. Perkahwinan menjadi suatu institusi yang disanjung tinggi. Golongan wanita bebas memilih suami masing-masing. Isteri memainkan peranan penting dalam ritual Veda. Lazimnya, monogami diamalkan kecuali dalam kalangan Ksattriya. Anak lelaki menjadi idaman pasangan suami-isteri. Wanita mendapat bahagian dalam harta selepas kematian suaminya. Wanita juga dibenarkan untuk berkahwin semula selepas kematian suami pertamanya, meskipun ini agak jarang. 
Masyarakat hidup secara berkumpulan. Setiap kumpulan memilih pemerintah atau rajanya sendiri. Dengan peredaran masa, kedudukan raja mula diwarisi. Raja mendapatkan nasihat daripada orang-orang bijaksana dalam pentadbiran. Golongan sami juga mempunyai pengaruh kuat. Segala aktiviti keagamaan dilakukan dan diawasi oleh sami-sami. Ritual-ritual korban secara besar-besaran, seperti Asvamedha dan Rajasuya oleh raja-raja yang kuat juga amat berleluasa. 
Pada awalnya, tidak ada sistem kasta. Namun, masyarakat dibahagikan kepada empat Varna/ 
Bahasa Sanskrit kuno menjadi medium komunikasi utama. 
Agama masyarakat Aryan yang utama ialah yajna dan yaga iaitu korban. Upacara korban haiwan, lazimnya dilakukan untuk mencapai nikmat duniawi seperti usia panjang, kekayaan, zuriat, atau tempat di syurga. Kepercayaan kepada Tuhan yang satu, serta beberapa dewa-dewi seperti Indra, Mitra, Varuna, atau Vishnu disanjung tinggi sebagai Tuhan yang Agung atau jelmaan Tuhan yang satu, boleh didapati dalam beberapa Mantra dalam Rigveda. Kuil dan penyembahan seperti yang kita lihat pada hari ni, nampaknya tidak begitu ketara atau tidak wujud pada zaman ini. Masa dihitung dengan melihat edaran matahari dan bulan.  
Masyarakat Aryan mempercayai kehidupan selepas kematian. Kedua-dua proses pembakaran mayat dan pengkebumian diamalkan. Selepas kematian, roh dipercayai akan pergi ke dunia nenek-moyang (Pitruloka) atau syurga (Svarga) atau neraka. 
Hinduisme moden masih mengekalkan beberapa aspek keagamaan dan kebudayaan daripada tradisi zaman Vedik ini, sama ada secara tulen atau dengan pengubahsuaian.

Masyarakat Dravidian
Persoalan utama yang masih hebat didebat oleh golongan sejarahwan, ahli-ahli Indologi, antropologi dan filologi ialah teori kedatangan Aryan dan pengusiran orang Dravidian ke Selatan India. Satu pendapat lain pula menyatakan bahawa orang Dravidian juga adalah pendatang dari Mediterranean sama seperti orang Aryan. 

Terdapat satu pendapat yang berlainan bahawa tamaduan Harappa-Mohenjo Daro ialah suatu tahap matang kebudayaan Vedik. Oleh itu, menurut pendapat ini, tamadun ini tidak ada sebarang kaitan dengan kebudayaan Dravidian. Bahasa-bahasa Dravidian seperti Tamil, Telugu, Kannada, dan Malayalam adalah satu evolusi beransur-ansur daripada bahasa-bahasa Prakrt dan Paisaci yang berasal daripada bahasa Sanskrit. 

Namun, satu fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah bahawa wujudnya percampuran antara pelbagai kumpulan etnik di benua India dan perkembangan bahasa-bahasa yang amat komplek lagi rumit selama beribu-ribu tahun sehingga tiada satu teori yang dapat diterima sebagai benar. 

Memandangkan Agastya, seorang Rishi daripada zaman Veda, secara umumnya diterima sebagai pengasas agama, bahasa dan kebudayaan di India Selatan (yang kemudianya, tersebar sehingga ke Asia Tenggara), adalah memadai untuk mengatakan bahawa jurang antara Aryan-Dravidian adalah suatu andaian semata-mata dan bukannya satu fakta yang terbukti. 


No comments:

Post a Comment